MENARA jam bukan sahaja berfungsi sebagai penunjuk masa tetapi menjadi simbol sejarah, budaya dan kehebatan seni bina yang masih berdiri teguh sehingga kini walaupun melalui perubahan zaman serta tampuk pemerintahan.
Oleh itu, menara jam menjadi bangunan ikonik di sesuatu tempat yang wajib dikunjungi untuk melihat nilai sejarah, budaya dan seni bina menakjubkan. Dari atas menara juga menghidangkan pemandangan indah di sekitarnya.
CitaRasa pada minggu ini kongsikan lima menara jam yang paling popular di dunia sebagaimana disenaraikan portal pelancongan antarabangsa, The Travel Bible.
1- Big Ben
BERDIRI tinggi di Istana Westminster, Big Ben ialah simbol ikonik London dan United Kingdom. Locengnya bergema merentasi Sungai Thames yang menjadi tarikan pelancong luar negara dan warga tempatan.
Menara ini direka oleh Augustus Pugin dan Sir Charles Barry dalam gaya Gothic Perpendicular dan siap pada tahun 1859. Ia dihiasi ukiran batu dan menampilkan simbol yang berkaitan empat negara United Kingdom dan dinasti Tudor.
Bukan sahaja menjadi menara ikonik, ia juga berdiri sebagai pengawal yang teguh dalam sejarah British selama lebih satu abad.
2- Jam Astronomi Prague
TERLETAK di dalam Dewan Perbandaran Lama, Jam Astronomi Prague di Republik Czech ini merupakan karya agung kejuruteraan zaman pertengahan. Jam astronomi abad ke-15 ini bukan saja menunjukkan masa, ia memaparkan kedudukan Matahari dan Bulan, tanda-tanda zodiak serta pertunjukan patung-patung yang bergerak pada setiap jam yang memukau. Ia adalah jam astronomi ketiga tertua dunia dan jam tertua yang masih beroperasi, menampilkan dail astronomi yang kompleks, kalendar dan pertunjukan angka bergerak setiap malam.
3- Menara Keamanan
DIBINA di atas Bukit Parlimen Kanada, Menara Keamanan adalah simbol terkemuka ibu negara Kanada. Sebagai sebahagian Blok Pusat Parlimen, menara jam ini mempunyai seni bina Gothic Revival yang mengagumkan.
Menara ini direka oleh arkitek John Pearson sebagai tugu peringatan Perang Dunia I dan siap dibina pada tahun 1928 dengan ketinggian 92.2 meter.
Pengunjung ke Ottawa, Kanada boleh menikmati pemandangan bandar yang menakjubkan dari dek menara ini, manakala bunyi loceng-locengnya memenuhi atmosfera dengan melodi indah.

4- Zytglogge
SETERUSNYA, menara jam Zytglogge yang dibina di tengah-tengah Bandar Lama Bern, Switzerland. Terkenal dengan pertunjukan patung animasinya, jam ini bukan sahaja menyimpan masa yang tepat tetapi juga menampilkan paparan mekanikal rumit yang menawan penonton dengan wataknya yang menawan dan pergerakan yang menarik.
Dibina pada awal abad ke-13, ia telah berkhidmat untuk bandar ini sebagai menara pengawal, penjara, menara jam, pusat kehidupan bandar dan tugu peringatan sivik.
Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) ini juga adalah bukti ketukangan dan inovasi Switzerland.
5- Bangunan Sultan Abdul Samad
DISENARAI kelima ialah Bangunan Sultan Abdul Samad dengan menara jam ikoniknya merupakan mercu tanda yang menarik di Kuala Lumpur. Karya seni bina gaya Moor ini berdiri sebagai simbol masa lalu penjajah di Malaysia dan perjalanan negara ini menuju kemerdekaan.
Bangunan ini pada asalnya menempatkan pejabat pentadbiran kolonial British. Pada tahun 1974, ia telah ditukar nama kepada Sultan Abdul Samad iaitu Sultan Selangor yang memerintah pada masa pembinaannya bermula.
Menara jam ini dihiasi dengan elemen reka bentuk yang elegan telah menjadi simbol kebanggaan negara, berdiri tegak di Dataran Merdeka dan menjadi bukti kepada kekayaan sejarah negara.














