SEBERANG PERAI – Tiga sekolah di Pulau Pinang yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan banjir sejak Jumaat lalu akan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selama dua hari bermula esok melibatkan seramai 1,786 murid.
Pengarah Pendidikan Negeri, Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata, tiga sekolah berkenaan adalah SK Lahar Yooi dan SK Padang Menora di Seberang Perai Utara (SPU) serta SK Guar Perahu di Seberang Perai Tengah (SPT).
Katanya, bilik darjah di sekolah terbabit kini digunakan sepenuhnya untuk menempatkan mangsa banjir yang dipindahkan sejak beberapa hari lalu. “Secara keseluruhan, terdapat lima sekolah di negeri ini dijadikan PPS. “Bagaimanapun, dua daripadanya iatu SK Tan Sri Awang Had Salleh di Balik Pulau dan SMK Permatang Pasir di sini masih beroperasi seperti biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau keadaan mangsa banjir di PPS SMK Permatang Pasir, hari ini, bersama Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohamad Abdul Hamid di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau turut memberi jaminan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak akan terjejas walaupun beberapa kawasan di negeri itu kini berdepan banjir manakala lima sekolah dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).
Jelasnya persediaan rapi telah dilaksanakan menerusi Ops Payung termasuk mengenal pasti pelajar berisiko dan menyediakan penempatan alternatif di asrama sekiranya mereka berdepan kesukaran ke pusat peperiksaan akibat banjir.
“Data pelajar terlibat sudah ada pada kita dan langkah awal termasuk penempatan di asrama atau pengaturan bersama agensi berkaitan sudah disusun sejak awal. “Sekarang keadaan banjir dilihat tak menentu, jadi kita akan tengok keadaan berdasarkan laporan semasa dan kawasan berkemungkinan berlaku hujan lebat dan banjir kita letak sebagai ‘red spot’ untuk lebih bersiap siaga,” katanya.-KOSMO! ONLINE














