BALING – Tujuh sekeluarga berdepan detik cemas apabila sebahagian rumah didiami mereka di Kampung Batu Lapan, Tanjung Pari dalam mukim Siong di sini runtuh akibat arus deras Sungai Ketil kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, penghuni rumah, Azizah Rahim, 59, bersama suami, Shamsudin Awang, 61, dua anak, seorang menantu dan dua cucu sedang berehat selepas makan malam.
Menurut Azizah, kejadian berlaku selepas hujan lebat berterusan sejak pagi sehingga mengakibatkan hakisan teruk pada tebing sungai. Katanya, lebih separuh rumah iaitu keseluruhan dapur, bilik air dan dua bilik tidur anak serta cucu runtuh.
“Nasib baik kejadian berlaku selepas kami semua selesai makan malam di dapur, betul-betul di tempat runtuhan itu.
“Kami tengok tebing sungai runtuh sedikit demi sedikit, sehingga jarak kira-kira satu kaki, terus sebahagian besar rumah runtuh ke dalam sungai,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.
Katanya, semua barangan di dapur termasuk peti sejuk dan mesin basuh dihanyutkan arus deras. – KOSMO! ONLINE














