ALOR SETAR – Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Sik dan Padang Terap hari ini yang menempatkan seramai 119 penduduk terjejas banjir setakat pukul 8 malam ini.
Tiga PPS tersebut adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Danglau dan SK Kampung Betong di Sik manakala Dewan Badminton Felda Lubuk Merbau di Padang Terap.
Pembukaan tiga PPS tersebut menjadikan keseluruhan PPS yang telah diaktifkan di seluruh negeri adalah sebanyak 18 PPS dengan menempatkan seramai 1,708 mangsa daripada 525 keluarga. Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah, jumlah mangsa tertinggi adalah di Kulim iaitu seramai 1,113 orang daripada 333 keluarga yang ditempatkan di lapan PPS.
“Seterusnya di Baling, seramai 343 orang daripada 117 keluarga berlindung di lima PPS, manakala Pokok Sena seramai 88 orang daripada 26 keluarga berada di satu PPS.
“Di Pendang, PPS Dewan Kompleks Rakan Sukan Tanah Merah menempatkan 45 mangsa daripada 12 keluarga,” katanya hari ini. – KOSMO! ONLINE














