SINGAPURA – Seorang warga Indonesia dikenali sebagai Salehuddin didakwa di sebuah mahkamah kerana membunuh isterinya di hotel penginapan mereka di Singapura, lapor portal berita MSNews hari ini.
Lelaki berusia 41 tahun itu didakwa membunuh isterinya yang berusia 38 tahun, Nurdia Rahmah Rery, di sebuah hotel di Chinatown.
Pada pagi semalam, Salehuddin berjalan masuk ke Balai Polis Kejiranan Bukit Merah East dan mengaku telah membunuh isterinya.
Jika sabit kesalahan atas tuduhan membunuh, dia berdepan hukuman mati.
Apabila diminta memberi maklum balas, Salehuddin memohon untuk didakwa dan dijatuhkan hukuman di Indonesia.
Namun, Hakim Tan Jen Tse berkata, beliau belum boleh menerima permohonan sedemikian kerana kes itu masih di peringkat awal.
Salehuddin membantah keputusan tersebut dengan berkata: “Saya bantah, Yang Arif. Hukuman bagi kes ini ialah hukuman mati.”
Hakim kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya Salehuddin ditahan bagi menjalani penilaian psikiatri selama tiga minggu.
Kes itu ditangguhkan ke 14 November depan. – AGENSI














