KULIM – Sekolah Kebangsaan (SK) Merbau Pulas yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) bagi mangsa banjir di daerah ini turut dilanda banjir, awal pagi tadi.
Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Jamaluddin Ismail, 39, berkata, air mula naik kira-kira pukul 4 pagi dan kejadian dimaklumkan oleh pengawal keselamatan sekolah.
Katanya, semasa pengawal keselamatan melakukan rondaan pada waktu malam, keadaan masih terkawal dan tiada tanda-tanda kawasan itu akan dinaiki air. “Namun menjelang awal pagi tadi, paras air meningkat dengan cepat sehingga mencecah paras pinggang di dalam bilik darjah.
“Blok yang menempatkan dewan makan, dewan, prasekolah, bilik j-Qaf serta bilik muzik turut terjejas. Banyak barang tidak sempat diselamatkan. Saya bersama guru-guru, kakitangan dan ibu bapa bergotong-royong memindahkan barang ke tempat selamat,” katanya ketika ditemui di PPS SK Merbau Pulas, hari ini.
Menurutnya, sekolah itu dijadikan PPS bagi menempatkan penduduk kampung berhampiran yang terjejas, termasuk dari Kampung Selangor, Merbau Pulas, Kampung Paya Jemerli dan Kampung Baru Merbau Pulas.- KOSMO! ONLINE














