fbpx
ONN HAFIZ (tengah) melawat reruai pada Majlis Pelancaran Johor Business Summit & Expo (JBSE 2025) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru hari ini. Foto RAJA JAAFAR ALI

Peniaga digesa tingkat kemahiran, bersaing peringkat global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Semua pihak termasuk usahawan dan peniaga di negeri ini digesa untuk meningkatkan kemahiran dan mutu perkhidmatan agar mampu bersaing dalam ekosistem pelaburan global yang semakin mencabar, khususnya dengan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, usaha meningkatkan kemahiran dan menyesuaikan kemahiran baharu penting bagi memastikan rakyat Johor mampu bersaing di peringkat global seiring dengan pembangunan negara maju.

Katanya, kepimpinan negeri termasuk beliau turut mengambil tanggungjawab memperkukuh keupayaan masing-masing bagi memastikan Johor terus menjadi destinasi utama pelaburan.

“Saya, Mohd Hairi (Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor) dan Datuk Asman Shah Abd Rahman (Setiausaha Kerajaan Johor) perlu sentiasa meningkatkan daya kepimpinan kami.

“Begitu juga usahawan dan peniaga, mereka mesti berusaha mempertingkatkan kemahiran dan daya saing kerana kita kini berdepan cabaran JS-SEZ.

“Kawasan JS-SEZ meliputi keluasan 3,500 kilometer persegi empat kali lebih besar dari Singapura. Kawasan ini akan menumpukan kepada pelbagai sektor termasuk pembuatan, logistik, runcit serta pelancongan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Johor Business Summit & Expo di sini, hari ini.

Tambahnya, banyak jenama besar akan berada di Johor dan ramai usahawan tempatan berpotensi untuk maju ke hadapan kerana melalui JS-SEZ akan ada pelbagai peluang serta insentif yang ditawarkan menerusi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Katanya, bagi memastikan pelabur terus memilih Johor sebagai destinasi utama, kerajaan negeri mahu menawarkan kumpulan usahawan dan peniaga yang benar-benar berkualiti serta mampu memenuhi keperluan pelabur antarabangsa.

“Jika kita berikan perkhidmatan yang tidak berkualiti, pelabur mungkin hanya menggunakan khidmat mereka (usahawan dan peniaga) sekali sahaja dan kemudian membuat aduan kepada kerajaan negeri bahawa mutu perkhidmatan usahawan kita tidak mencapai standard yang sepatutnya.

“Johor kini mempunyai banyak jenama tempatan yang telah menunjukkan potensi besar seperti Plato, Outside, Woodfire dan Lazy Monday, selain syarikat logistik terkenal Tiong Nam, yang membuktikan kemampuan dan daya tahan keusahawanan negeri itu untuk melangkah lebih jauh di pasaran serantau.

“Walaupun kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan dan insentif, para usahawan sendiri perlu memainkan peranan aktif memperkukuh keupayaan serta daya saing masing-masing,”katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN