JAKARTA – Sebuah majlis perkahwinan di Lombok, wilayah Nusa Tenggara Barat menjadi kecoh apabila pengantin lelaki meninggalkan pengantin perempuan ketika majlis sedang berlangsung, lapor portal berita FT News.
Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @alyana200614 menunjukkan pasangan itu sedang bergambar di atas pelamin.
Situasi bertukar tegang apabila pengantin lelaki tiba-tiba melepaskan bajunya dan turun dari pelamin dalam keadaan marah.
Orang ramai cuba menenangkan pengantin lelaki, manakala pengantin perempuan hanya berdiri dengan riak wajah yang kecewa.
Masih belum jelas punca kejadian.
Rakaman itu mencatatkan lebih 10.6 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Kalau tak mahu kahwin, kenapa tak tolak dari awal?” kata seorang netizen.
“Lelaki akan meninggalkan wanita jika dia tidak lagi dihargai,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI














