fbpx
Gambar hiasan.

Pagar MRT Taman Desa dipotong, kabel hilang disyaki dicuri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

 

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian pencerobohan di kawasan pagar portal Projek MRT Laluan Putrajaya berhampiran Stesen Taman Desa, hari ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, laporan tersebut dibuat oleh anggota Polis Bantuan MRT Putrajaya Line Sungai Besi pukul 12.41 tengah hari tadi.

“Hasil siasatan awal mendapati pagar portal di kawasan tersebut dalam keadaan terbuka dan dipercayai telah dipotong serta diceroboh kira-kira pukul 6.30 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Menurut beliau, pemeriksaan lanjut oleh pihak polis bantuan mendapati kabel komunikasi milik MRT dilonggokkan berhampiran tiang Pier 0373.

“Kesemua kabel yang dijumpai telah dibawa ke Depoh Serdang oleh pihak Signaling and Communication (S&C) untuk rujukan syarikat serta bagi mengukur semula panjang kabel bagi mengenal pasti jumlah sebenar yang dicuri,” katanya.

Tambah Chang Hook, kes berkenaan masih dalam siasatan pihak polis.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan perkhidmatan tren di Laluan Putrajaya mengalami kelewatan susulan gangguan sistem semboyan yang dikesan antara Stesen Kwasa Damansara dan Stesen Putrajaya Sentral, hari ini.

Rapid Rail Sdn. Bhd. berkata, gangguan tersebut menyebabkan tren terpaksa dipandu secara manual bagi memastikan keselamatan penumpang, sekali gus menyebabkan tren bergerak lebih perlahan dan berhenti lebih lama di setiap stesen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI