BUKIT KAYU HITAM – Mesin Pengimbas Kargo (UMP Kargo) berjaya mengesan sejumlah diesel yang disembunyikan di dalam ruang khas sebuah treler yang disyaki cuba diseludup ke Thailand, di sini semalam.
Treler berkenaan ditahan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam kira-kira pukul 2.15 petang.
Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, berdasarkan hasil imbasan X-ray oleh Unit UMP Kargo, imej mencurigakan dikesan pada bahagian bawah treler bernombor pendaftaran Thailand itu. “Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat ruang khas tersembunyi dibina di dalam tangki di bawah treler berkenaan yang menempatkan cecair disyaki diesel.
“Ia dipercayai dilakukan bagi mengaburi pihak berkuasa semasa melalui pintu masuk antarabangsa,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, jumlah minyak diesel yang disembunyikan dianggarkan kira-kira 3,000 liter bernilai RM8,670.
“Minyak diesel serta treler disita sebagai bahan bukti, manakala pemandu lori warga Thailand berusia 50 tahun diikat jamin sebanyak RM5,000 bagi membantu siasatan.
“Kes diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan JKDM Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Tambahnya, diesel merupakan barang kawalan di bawah Perintah Kawalan Bekalan 1974, dan sebarang aktiviti mengangkut, menyimpan atau memiliki tanpa kebenaran bertulis daripada pengawal adalah satu kesalahan.
“Kesalahan itu disiasat mengikut Seksyen 133(1)(e) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 21(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122),” katanya. – KOSMO! ONLINE














