PUTRAJAYA – Malaysia dan Afrika Selatan bersetuju memperkukuh dan memperluas dagangan antara satu sama lain selain meneroka pasaran baharu menerusi BRICS.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Afrika Selatan mempunyai kedudukan istimewa dan pengaruh besar, terutama dalam bidang pertahanan, pertanian dan industri berasaskan sumber.
“Kami berbesar hati untuk mengukuhkan lagi kerjasama dalam sektor-sektor seperti minyak sawit, semikonduktor, halal, pertanian moden, pendidikan, penyelidikan universiti dan sains. Kedua-dua pihak akan meneliti dan menyelaras langkah-langkah susulan agar hasilnya dapat dirasai oleh rakyat kedua-dua negara,” katanya pada sidang akhbar bersama Presiden Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphosa di Kompleks Seri Perdana, di sini hari ini.
Katanya, Malaysia kini mengambil pendekatan lebih terbuka dan aktif terutama dalam memperkukuh perdagangan intra-ASEAN serta memberi tumpuan kepada pasaran Asia dan melalui platform BRICS, Malaysia komited untuk memperkembangkan hubungan perdagangan dengan benua Afrika dan Amerika Latin.
Sementara itu, Ramaphosa berkata, beliau mengakui wujud keperluan untuk memperluas peluang perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Afrika Selatan terutama dalam suasana ketegangan geopolitik dan cabaran global ketika ini. – KOSMO! ONLINE














