PUTRAJAYA- Institusi antarabangsa seperti Majlis Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) disifatkan seakan tidak berfungsi seperti sepatutnya khususnya dalam memainkan peranan untuk menghentikan peperangan yang tercetus ketika ini.
Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula Da Silva berkata, banyak peperangan yang berlaku dimulakan oleh negara-negara yang menjadi anggota majlis itu sendiri tanpa perundingan atau kelulusan global.
“Bagaimana kita boleh berdiam diri melihat perang di Ukraine yang berlarutan atau penderitaan berpanjangan di Gaza? Keganasan tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang normal.
“Apabila kita menerima kekejaman sebagai kebiasaan, kita telah kehilangan sifat kemanusiaan,” katanya dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan rasmi Lula Da Silva ke Malaysia, di sini hari ini.
Lula Da Silva berkata, tindakan sama turut berlaku apabila dunia gagal bertindak dalam menangani isu perubahan iklim walaupun semua tahu apa yang sedang memusnahkan planet ini.
Beliau menegaskan, dunia masih kekurangan sistem tadbir urus global yang berkesan dalam menangani isu global yang amat diperlukan oleh Malaysia, Brazil dan seluruh umat manusia.
Katanya, perjanjian Kyoto tidak dilaksanakan sepenuhnya, dan ramai yang tidak menghormati Perjanjian Paris.
“Sebab itu, saya mahu Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP 30) di Brazil nanti menjadi platform untuk menilai sama ada kita percaya pada amaran saintifik tentang masa depan bumi.
“Krisis iklim memberi kesan paling teruk kepada golongan miskin, penduduk kampung kecil, mereka yang tinggal di kawasan pinggir bandar, yang menjadi mangsa ribut, banjir, dan taufan.
“Kita, para pemimpin dunia, mesti bertindak bukan hanya untuk negara masing-masing, tetapi untuk planet ini secara keseluruhan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap penyertaan Brazil dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 menjadi permulaan baik hubungan Malaysia dan Brazil dalam memperkukuhkan kerjasama pelbagai bidang. -KOSMO! ONLINE














