LIVERPOOL – Liverpool perlu terus membuat rombakan dalam kesebelasan utama dengan merehatkan bintang utamanya, Mohamed Salah bagi menamatkan badi kekalahan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Brentford awal pagi esok.
Bekas tonggak pertahanan The Reds, Jamie Carragher menyeru pengurus pasukan, Arne Slot supaya kekal dengan pendiriannya terus meletakkan Salah di bangku simpanan untuk aksi di Stadium Komuniti Gtech itu.
Perubahan taktikal yang dilakukan oleh Slot dengan sistem permainan 4-4-2 tanpa Salah dalam kesebelasan utama menuai hasil lumayan apabila membelasah Eintracht Frankfurt 5-1 pada aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) baru-baru ini.
“Keputusan Slot menyisihkan Salah sangat tepat. Kita boleh lihat dia tidak beraksi seperti biasa beberapa perlawanan lepas. Ia wajar dipuji kerana Salah juga manusia biasa dan tidak boleh diberikan layanan legenda sepanjang masa.
“Mengenai prestasi semasa, dia bukan lagi pemain muda kerana sudah berusia 33 tahun. Saya rasa Salah menghadapi krisis keyakinan dan mungkin kepenatan kerana Liverpool beraksi tiga perlawanan dalam tempoh seminggu,” katanya.
Salah sebelum ini dikritik hebat berikutan prestasi hambar apabila gagal menjaringkan gol atau mencipta bantuan jaringan dalam enam aksi terakhir.
Keadaan bertambah panas apabila Salah menimbulkan kemarahan penyokong apabila enggan menghantar bola kepada Florian Wirtz yang berada di posisi lebih baik untuk menjaringkan gol.
Ia didakwa antara punca Salah ‘merajuk’ dengan memadam semua rujukan berkaitan Liverpool di laman media sosialnya termasuk gambar sambutan kejuaraan EPL dimenangi mereka musim lalu sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penyokong.
Liverpool yang kini di tangga keempat dengan ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu, Arsenal, akan turun ke Brentford tanpa kelibat dua tonggak dibeli musim ini, Alexander Isak dan Jeremie Frimpong kerana kecederaan dialami bertemu Frankfurt. – AGENSI














