TUMPAT – Akibat dendam lama, seorang pemandu jengkaut maut selepas ditetak bertubi-tubi dengan parang dipercayai perbuatan sepupunya di sebuah rumah di Kampung Kok Bedullah, di sini malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 11.15 malam itu, mangsa, Mohd. Suhairi Hashim, 46, meninggal dunia di lokasi disebabkan cedera parah termasuk putus lengan kiri.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd. Khairi Shafie berkata, siasatan awal mendapati, suspek yang mempunyai tali persaudaraan dengan mangsa datang ke rumah sebelum menyerang lelaki itu dengan parang. Menurutnya, suspek dipercayai menetak muka dan badan mangsa bertubi-tubi sehingga lengan kiri putus.
“Sebilah parang panjang yang digunakan untuk menetak mangsa dirampas semasa suspek ditahan.
“Siasatan lanjut mendapati, suspek mempunyai dendam lama dengan mangsa sehingga menyebabkan lelaki itu bertindak sedemikian,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Mohd. Khairi berkata, suspek ditahan reman tujuh hari bermula hari ini hingga Jumaat depan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE














