fbpx
Anwar dijangka menyambut ketibaan Trump di kubah ini sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur esok. Foto oleh ISKANDAR ISHAK/ KOSMO!

Kubah ASEAN jadi ‘saksi’ PM sambut Trump esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kubah baharu yang dihiasi pelbagai flora dan fauna serta pancuran air di pintu masuk utama Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bakal menjadi tumpuan utama sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, esok.

Struktur setinggi 10 meter dengan diameter 20 meter itu akan menjadi ‘saksi’ pertemuan kali pertama apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut ketibaan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump termasuk pemimpin anggota ASEAN, yang dijadual tiba esok.

Ketua Sekretariat Induk Logistik ASEAN 2025, Raja Saifful Ridzuwan Raja Kamaruddin berkata, pembinaan kubah berkenaan bukan sekadar hiasan seni bina, tetapi turut mengambil kira aspek keselamatan dalam suasana yang mesra.

“Matlamat kami adalah untuk menyediakan ruang yang selamat dan berprestij bagi menyambut ketibaan pemimpin-pemimpin dunia. Kubah ini direka bagi melindungi kawasan utama daripada hujan serta panas, selain memberi suasana lebih eksklusif.

“Namun, keutamaan kita adalah aspek keselamatan. Jadi, kita bina kubah ini supaya Perdana Menteri boleh menerima kehadiran tetamu dengan baik,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di sini hari ini.

Raja Saifful Ridzuwan.

Raja Saifful Ridzuwan berkata, reka bentuk kubah itu diinspirasikan daripada elemen alam semula jadi yang menjadi ciri utama rantau ASEAN, termasuk konsep sungai dan kehijauan tropika.

“Apa yang kita nak terapkan adalah persamaan di antara semua negara anggota ASEAN ini begitu hampir dengan alam semula jadi.

“Kita juga nak tonjolkan imej kemodenan dengan penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi menampilkan suasana yang mesra dan berprestij,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ketua-ketua negara juga akan dibawa menelusuri terowong legasi ASEAN dan ‘River of Progress’ yang memaparkan sejarah perkembangan ASEAN sejak penubuhannya pada 1967.

“Kali ini kami gunakan lebih 1,200 meter persegi diod pemancar cahaya (LED) bagi memaparkan pelbagai visual digital, termasuk sejarah ASEAN dan pencapaiannya.

“Dengan teknologi ini, paparan boleh diubah suai secara masa nyata menggunakan kecerdasan buatan (AI),” jelasnya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bakal bermula esok hingga 28 Oktober dijangka menghimpunkan barisan pemimpin semua pemimpin negara anggota ASEAN termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Turut dijangka hadir ialah Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, Naib Perdana Menteri China, He Lifeng, Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, Presiden Timor-Leste, Jose Ramos-Horta serta Perdana Menteri China, Li Qiang.

Sidang berprestij itu turut disertai Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa dan Perdana Menteri wanita pertama Jepun, Sanae Takaichi, menjadikan Kuala Lumpur tumpuan diplomatik dunia pada hujung minggu ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI