SEPANG – Bukan sekadar pelengkap jadual, namun pelumba wildcard negara, Hakim Danish Ramli membuktikan kemampuannya apabila berjaya meloloskan diri ke sesi Kelayakan Dua (Q2) pada perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia hari ini.
Pelumba berusia 18 tahun itu yang membawa cabaran AEON Credit SIC Racing-MSI, tampil cemerlang dengan mengekalkan momentum positif sejak Latihan Bebas Pertama (FP1) sebelum memperagakan tunggangan lebih bertenaga pada sesi sebelah petang.
Sokongan padu daripada MT Helmets-MSI yang ‘menarik’ Hakim ke garaj bagi mendapatkan sokongan teknikal pasukan No. 2 dunia itu ternyata melonjakkan motivasi untuk memberikan tunggangan terbaik bersama pelumba tetap Moto3.
Hasilnya, anak jati Terengganu itu menggegarkan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dengan catatan masa dua minit 11.820 saat (s) bagi membolehkannya menempatkan diri di kedudukan ke-11 terpantas sekali gus meraih tiket automatik ke Q2 bersama barisan pelumba elit dunia.
“Alhamdulillah, saya sendiri tak menjangka dapat keputusan sebaik ini. Dalam setiap pusingan, saya cuba kekal fokus untuk berada dalam kelompok terbaik.
“Saya gembira dapat berlumba bersama Brian Uriarte yang saya kenali daripada Red Bull dan JuniorGP di Eropah. Kali ini kami bersaing semula di Sepang dan saya cuba ambil peluang untuk belajar serta memperbaiki kemahiran.
“Esok (hari ini) saya akan fokus kepada sesi simulasi perlumbaan dan berusaha memperbaiki catatan masa di Q2 bagi mendapatkan petak permulaan terbaik Ahad nanti,” katanya.
Pencapaian tersebut dianggap luar biasa bagi seorang pelumba wildcard yang membuat penampilan sulung di pentas Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) bagi kelas Moto3.
Sesi itu menyaksikan pelumba Red Bull KTM Ajo, Jose Antonio Rueda, merekodkan masa terpantas dengan 2:11.15s, diikuti rakan sepasukannya, Alvaro Carpe (2:11.18s), manakala Brian Uriarte dari LIQUI MOLY Dynavolt Intact GP di tempat ketiga terpantas.
Aksi cemerlang Hakim di Sepang turut mencetuskan spekulasi hangat apabila pemenang tempat ketiga Red Bull Rookies Cup 2025 itu dikatakan selangkah lagi untuk disahkan sebagai pelumba tetap kelas Moto3 musim depan.
Segala-galanya dijangka terjawab selepas sesi kelayakan sebenar atau perlumbaan utama esok yang mungkin menjadi penentu kepada masa depan Hakim. – KOSMO! ONLINE














