fbpx
IZZAH

Keirin medan Izzah lepas geram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEGAGALAN melepasi pusingan pertama acara pecut individu wanita pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2025 di Santiago, Chile jelas mengecewakan bintang trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri.

Pada saingan di Velodrom Penalolen awal pagi semalam, pelumba berusia 22 tahun itu terpaksa akur tewas kepada pemenang pingat emas berganda Sukan Olimpik Paris 2024 dari New Zealand, Ellesse Andrews.

Walaupun gagal meneruskan kemaraan, namun pelumba yang diberi julukan The Pocket Rocketwoman itu menganggap ia sebagai satu pembelajaran kerana turun berdepan atlet berkelas dunia.

Izzah mahu melupakan kekecewaan itu dan mengalihkan sepenuh perhatian kepada acara keirin wanita dijadualkan berlangsung esok di mana dia mara ke separuh akhir tahun lalu.

“Bukan rezeki saya untuk melangkah ke pusingan seterusnya dalam acara pecut edisi kali ini kerana lawan pun sangat hebat. Banyak benda yang boleh saya belajar daripada pengalaman ini.

“Untuk keirin nanti, saya akan cuba yang terbaik dan guna peluang itu untuk menebus semula prestasi. Tahun lalu dapat ke separuh akhir, jadi kali ini sekurang-kurangnya menyamai atau memperbaikinya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pada aksi pecut awal pagi semalam, pelumba dari Sungai Petani, Kedah itu melayakkan diri ke pusingan pertama selepas menamatkan aksi kelayakan di kedudukan ke-26 daripada 34 pelumba menerusi catatan masa 11.019 saat (s).

Bagaimanapun, catatan masa tersebut masih jauh jika dibandingkan dengan rekod kebangsaan 10.578s miliknya yang dilakukan pada Kejohanan Piala Negara-Negara UCI di Turkiye, Mac lalu.

“Catatan masa ketika kelayakan tidak seperti yang diharapkan dan ada beberapa perkara teknikal perlu diperbaiki,” kata Izzah yang merupakan wakil tunggal negara pada kejohanan tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI