REMBAU – Seorang suri rumah mengambil pendekatan yang jarang dilakukan peniaga lain apabila menjual makanan sarapan berharga RM1 di Kiosk Arked 12, Pekan Rembau, di sini, sejak lebih sebulan lalu.
Adilah Abdullah, 52, berkata, dengan modal kira-kira RM100 sehari, dia mampu menawarkan pelbagai menu seperti nasi lemak, bihun, mi goreng, nasi goreng dan kuetiau goreng.
Malah, kata wanita itu, anaknya turut menyediakan kuih-muih selain ayam goreng yang dijual pada harga sama selaras dengan hasratnya untuk membantu supaya lebih ramai individu dapat membeli sarapan pada harga yang lebih murah.
“Bila jual murah macam ni ada yang tanya, ada juga yang cakap ada untung kah? sikit kah? Namun saya katakan, sesetengah orang satu tu cukup, nak lebih, beli lebih. Dari segi untung pula, alhamdulilah masih ada.
“Setakat jualan bermula 1 September lalu, ramai juga pelanggan yang datang beli balik di kios yang dibuka seawal pukul 7 pagi hingga menu sarapan habis sekitar 10 atau 11 pagi,” katanya ketika ditemui di Pekan Rembau, di sini, semalam.
Ujar ibu kepada lima orang anak itu lagi, setiap hari jualan iaitu Isnin hingga Jumaat, dia akan menggunakan kira-kira 2.5 kilogram beras bagi 80 bungkus nasi lemak, sekilogran beras bagi 20 nasi goreng dan sekurang-kurangnya 120 ketul ayam goreng untuk jualan.
Ujarnya, di kios berkenaan juga, ada individu menghantar kuih-muih untuk dijual, namun dia tetap menetapkan syarat agar kuih yang dibuat tidak terlalu mahal iaitu sekitar 50 sen hingga RM 1 bagi satu kuih.
“Memang dah niat macam tu, jadi saya pun dah pesan dekat anak. Selepas sarapan ni pula, anak saya akan menyambung berniaga air coklat, namun bukan lah dengan harga RM1, cumanya, ayam goreng ni kekal dijual hingga ke petang,” katanya.















