PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk di enam negeri petang ini.
MetMalaysia dalam satu hantaran berkata, amaran itu dikeluarkan susulan hujan lebat dan angin kencang yang dijangka berlaku sehingga pukul 6 petang.
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di Kelantan melibatkan Tumpat, Pasir Mas, Jeli dan Tanah Merah, manakala Terengganu di Setiu, Kuala Nerus dan Hulu Terengganu. Cuaca sama juga dijangka berlaku di Selangor di daerah Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Petaling,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut MetMalaysia, cuaca buruk turut dijangka berlaku di Kuala Lumpur dan Sarawak di Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Mukah, Kapit (Song) serta Bintulu (Bintulu dan Sebauh).
“Sementara itu cuaca buruk di Sabah dijangka berlaku di Tawau (Kunak, Semporna dan Lahad Datu),” kata MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE














