IPOH – Seramai 2,922 mangsa banjir direkodkan di negeri ini setakat pukul 8 pagi ini dengan kesemua mereka ditempatkan di 26 buah pusat penempatan sementara (PPS).
Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perak berkata, daerah Larut, Matang dan Selama mempunyai 2,951 mangsa melibatkan 721 buah keluarga, menjadikan daerah itu merekodkan paling ramai individu terjejas akibat banjir.
Katanya, kesemua mangsa berkenaan ditempatkan di 19 buah PPS, manakala Manjung pula mempunyai empat PPS yang menempatkan 570 orang mangsa daripada 187 buah keluarga.
“Daerah Kerian pula mempunyai 196 orang mangsa dari 54 buah keluarga, dengan mereka ditempatkan di dua buah PPS,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, jurucakap berkenaan berkata, daerah Perak Tengah merekodkan seramai 105 orang mangsa daripada 31 buah keluarga dan mereka ditempatkan di sebuah PPS yang dibuka.
“PPS Sekolah Kebangsaan Simpang di Larut, Matang dan Selama menempatkan paling ramai mangsa iaitu seramai 389 individu (122 keluarga),” katanya. – KOSMO! ONLINE














