fbpx
PELUMBA AEON CREDIT SIC Racing MSI, Hakim Danish cemerlang di Sepang. GAMBAR: FARIZ RUSADIO

Hakim Danish naik pangkat ke Moto3

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANG – Bintang muda negara, Hakim Danish Ramli terus mengorak langkah besar dalam karier perlumbaannya apabila dinaikkan pangkat menjadi pelumba tetap dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) kelas Moto3 musim depan bersama pasukan gergasi, MSi Racing Team.

Pengumuman rasmi itu sekali gus menamatkan teka-teki mengenai masa depan pelumba berusia 18 tahun dari Terengganu tersebut selepas menamatkan saingan Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) musim 2025 di kedudukan ketiga keseluruhan.

Prestasi konsisten sepanjang musim menjadi faktor utama pemilihan Hakim Danish selepas menampilkan aksi memberangsangkan dalam FIM JuniorGP (JrGP) dan mencatat beberapa keputusan podium penting dalam RBMRC.

Aksi berani ketika beraksi sebagai pelumba wildcard di Grand Prix (GP) Malaysia minggu ini turut menarik perhatian pengurusan MSi Racing, sekali gus membuka jalan buat anak jati Terengganu itu menandatangani kontrak penuh bagi musim 2026.

HAKIM Danish bersama pasukan MSi Racing Team menjelang sesi Kelayakan Dua (Q2) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC)

Musim 2026 nanti, Hakim Danish bakal bergandingan dengan pelumba Jepun, Ryusei Yamanaka, selepas rakan sepasukannya musim ini, Angel Piqueras, disahkan beralih ke kelas Moto2.

“Sudah tentu berita ini membuatkan saya sangat gembira dan memberi motivasi tambahan untuk beraksi minggu ini. Ini impian saya sejak kecil dan saya berjanji akan memberikan segalanya tahun depan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pasukan MSi Racing, Óscar Manzano berkata, penyertaan Hakim Danish sejajar dengan falsafah pasukan untuk membangunkan pelumba muda dari akar umbi hingga ke kelas tertinggi MotoGP.

“Kami berbangga dapat membawa Hakim Danish ke Kejuaraan Dunia Moto3. Ia selari dengan visi pasukan untuk membimbing pelumba dari kategori bawah hingga ke peringkat tertinggi,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI