fbpx
Muhammad Fitri menunjukkan pelbagai produk berasaskan cili keluaran syarikatnya di Taman Indera Putera, Bota baru-baru ini.

Graduan ceburi produk berasas cili

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PARIT – Percaya pada prospek produk berkaitan cili membuatkan seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dengan Kepujian Universiti Teknologi Petronas (UTP) mengambil tindakan nekad menceburi bidang perniagaan itu secara serius sejak 2018.

Menurut Muhammad Fitri Jamil, 35, berbekalkan strategi perniagaan yang unik dengan memper­kenalkan pelbagai variati produk sos cili dan pes sambal tumis membolehkan beliau memperoleh pendapatan lumayan mencecah lima angka sebulan.

“Sebagai contoh, saya mem­punyai lima unit penyimpanan stok (sku) produk sos cili pelbagai saiz dengan pecahan sasaran pelanggan merangkumi isi rumah, penjaja makanan, hadiah majlis perkahwinan selain pemilik restoran makanan segera tempatan.

“Sementara itu, produk pes sambal tumis pula sesuai untuk pengusaha katering dan restoran,” katanya kepada Kosmo! di premisnya di Taman Indera Putera, Bota di sini baru-baru ini.

Muhammad Fitri menerangkan, bantuan geran berterusan berbentuk peralatan dan pinjaman tanpa faedah oleh Jabatan Pertanian Ne­geri, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan Yayasan Perak membantu melonjakkan lagi perniagaannya.

“Bantuan berbentuk peralatan seperti meja kerja, peti sejuk, mesin pelekat, pengadun, pembungkusan, pemasaran dan pembangunan laman web banyak membantu ke­sinambungan perniagaan.

“Bahkan, ketiga-tiga agensi ini kerap melakukan lawatan di premis untuk memastikan produk-produk ini dapat menjangkau pasaran di seluruh negeri,” katanya.

Muhammad Fitri menjelaskan, menerusi bantuan itu beliau mempunyai mesin sendiri yang canggih, membolehkan syarikatnya menjadi pengilang peralatan asal (OEM) untuk produk-produk bumiputera di sekitar negeri ini yang membantu memperkembangkan lagi perniagaan.

“Ketiga-tiga agensi itu juga memberikan input terbaik dalam permerolehan pensijilan halal dan pengiktirafan Kementerian Kesihatan untuk pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri.

“Saya turut memperkenalkan sos cili berbentuk sacet (peket kecil) dan dua syarikat berkaitan restoran makanan segera telah menjadi pe­langgan tetap setakat ini.

“Selain itu, saya turut memberikan konsultansi kepada perusahaan kecil dan sederhana dan petani berkaitan teknologi internet pelbagai benda (IoT), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta konsep pertanian pintar,” katanya.

Perkembangan ini selari de­ngan pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah niche daerah Perak Te­ngah sebagai Koridor TVET Malaysia yang disasarkan menjadi pusat ins­titusi ilmu dan pertanian moden.

Ini juga sejajar dengan tumpuan utama di Perak Tengah iaitu Industri Asas Makanan.

Bantuan itu pula selaras dengan flagship pertama Perak Sejahtera 2030 iaitu Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan) dan flagship kelima, Program Pemboleh­dayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat iaitu 1 Keluarga 1 Usahawan cetusan berwawasan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi memacu negeri ke arah kemajuan rakyat.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI