SEBERANG PERAI – Tiga lelaki warga Nepal termasuk seorang suspek utama ditahan reman bagi membantu siasatan kes pembunuhan kejam dua beranak di kediaman sewa mereka di Kampung Sekolah Juru, Sabtu lalu.
Tempoh reman terhadap suspek yang dipercayai kenalan mangsa berusia 35 dan abangnya bersama seorang kenalan mereka yang masing-masing berusia 40 dan 28 tahun itu bermula hari ini sehingga 31 Oktober ini.
Perintah reman ke atas semua suspek itu dikeluarkan Majistret Nurul Rasyidah Mohd. Akit bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.
Terdahulu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam dengan diiringi polis kira-kira pukul 9.45 pagi tadi.
Difahamkan, tangkapan suspek utama mungkin akan merungkai motif sebenar kematian tragis dua beranak iaitu Sariya Che Hin, 51, dan anak angkatnya, Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11 tahun terbabit.
Semalam, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail mengesahkan tiga lagi tangkapan baru bagi membantu siasatan kes tersebut.
Sebelum ini, dua suspek termasuk suami mangsa berusia 57 ditahan reman selama tujuh hari bermula 19 Oktober lalu.
Pada 18 Oktober lalu, Kosmo! Online melaporkan seorang ibu bersama anak angkatnya ditemukan maut dalam keadaan tragis selepas dipercayai dibunuh dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Juru, Seberang Perai, kira-kira pukul 7.30 malam.
Kedua-dua mereka dipercayai ditemukan dengan kesan tikaman dan kelar pada anggota badan termasuk hampir putus kepala dan terputus tangan. -KOSMO! ONLINE














