LONDON – Pengurus Chelsea, Enzo Maresca tekad untuk meneruskan momentum cemerlang dengan meraih tiga mata pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) bertemu pendatang baharu, Sunderland di Stamford Bridge malam ini.
Sebagai rekod, The Blues ketika ini berada dalam kelas tersendiri selepas merekodkan empat kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan termasuk menewaskan Ajax 5-1 dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) kelmarin.
Menurut Maresca, tiada sasaran spesifik yang diberikan kepada anak-anak buahnya ketika ini selain kekal konsisten dan fokus satu perlawanan ke satu perlawanan.
“Saya enggan memandang terlalu jauh atau menerima pujian terlalu awal kerana pada penghujungnya, kita hanya memberi tumpuan pada setiap satu perlawanan yang dihadapi.
“Kali ini, kita akan menentang Sunderland yang mana kita tahu mereka sedang berada pada tahap terbaik. Fokus kali ini kekal untuk meraih tiga mata dan saya harap berjaya teruskan momentum ketika ini,” katanya.
Sementara itu, Maresca turut memuji prestasi pemain muda dari Brazil, Estevao yang tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan di England.
“Saya tidak terkejut dengan prestasi Estevao tetapi saya mahu dia kekal merendah diri. Dia adalah pemain yang memiliki bakat istimewa dan percaya dia akan terus menyerlah musim ini,” katanya. – AGENSI














