TANGKAK – Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun ditemukan lemas selepas mandi bersama tiga rakan di sebuah lombong di Kampung Penchu, Kundang Ulu Gersik, di sini, petang tadi.
Mayat mangsa, Siti Nur Khadijah Ahmad Faisal yang merupakan murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Penchu dijumpai kira-kira pukul 3.20 petang.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd. Talib berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama adik lelakinya berusia 10 tahun serta dua rakan masing-masing berusia sembilan dan 13 tahun mandi di kawasan itu yang berkedalaman tiga meter.
“Operasi mencari dan menyelamat digerakkan membabitkan anggota polis, bomba dengan bantuan penduduk. Mayat mangsa dijumpai sebelum dihantar ke Hospital Tangkak untuk dibedah siasat,” katanya yang memberitahu kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir, Pegawai Bomba Kanan I Johar Tumin berkata, seramai tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera.
Katanya, mangsa dijumpai pasukan penyelamat kira-kira 50 meter dari tempat dia dilaporkan hilang.-KOSMO! ONLINE














