KUALA LUMPUR – Keputusan meninggalkan dunia perbankan membuka pintu rezeki buat Annie Yusuf, 55, apabila dinobatkan antara ejen terbaik syarikat Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd.
Annie yang berasal dari Lahad Datu menyertai Andalusia pada 2019 selepas dijemput Pengarah syarikat itu, Ida Riswana Idris untuk menjadi ejen tetap.
Walaupun bukan tersenarai dalam kumpulan pertama yang dilantik sebagai Pegawai Pemasaran, namun sejak menyertai Andalusia, Annie berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 ejen terbaik tahun ini. “Pencapaian tertinggi tahun ini apabila saya berjaya mengumpul 351 jemaah bagi musim 1447H,” katanya ketika ditemui pada Konvensyen Pegawai Pemasaran Andalusia 2.0 di sini hari ini.
Menurut Annie, kepercayaan orang ramai termasuk para jemaah terhadap jenama Andalusia menjadikan tugas beliau untuk mempromosi pakej umrah lebih mudah dan lancar.
“Walaupun promosi di media sosial saya tidak seaktif orang lain, nama saya sudah sinonim dengan Andalusia,” ujarnya.
Beliau yang kini menjadi ejen sepenuh masa mampu meraih pendapatan sehingga RM8,000 sebulan selain melancong secara percuma bersama jemaah termasuk kenChina dan Indonesia.
“Tahun ini paling istimewa kerana pada 16 November ini saya akan menunaikan umrah bersama anak, menantu dan cucu seramai 45 orang dengan diskaun khas daripada Andalusia,” katanya.
Bagi Annie, menjadi sebahagian keluarga Andalusia bukan sekadar peluang menjana pendapatan, tetapi medan berkhidmat kepada jemaah.
“Andalusia bukan hanya bersama waktu kita senang, tapi juga waktu susah. Sekiranya ada masalah, mereka orang pertama datang membantu,” katanya.
Beliau turut berpesan kepada ejen baharu agar meluruskan niat sebelum menceburi bidang pemasaran umrah.
“Kita bukan semata-mata cari duit, tapi niat membantu orang menunaikan ibadah. Bila kita buat dengan ikhlas, rezeki akan datang tanpa disangka,” katanya.














