RIYADH – Selepas tujuh tahun tertangguh, projek pembinaan bangunan tertinggi dunia yang bakal menempatkan hotel mewah dan dek pemerhatian di Jeddah kini disambung semula dan akan siap pada 2028, lapor portal berita MailOnline semalam.
Arab Saudi sedang membina Menara Jeddah untuk menjadi bangunan pertama di dunia melebihi ketinggian 1 kilometer (1,000 meter).
Apabila siap kelak, menara yang direka oleh firma Adrian Smith + Gordon Gill Architecture iaitu syarikat sama mereka bentuk Burj Khalifa itu akan menjadi kira-kira 180 meter lebih tinggi daripada mercu tanda Dubai tersebut.
Pada masa ini, Burj Khalifa memegang gelaran bangunan tertinggi dunia dengan ketinggian 828 meter.
Menara baharu itu akan menjadi mercu tanda utama bagi projek pembangunan Bandar Ekonomi Jeddah bernilai AS$20 bilion (RM84 bilion) yang terletak di pesisir Laut Merah.
Terdapat sebuah teres langit yang akan menawarkan pengunjung pemandangan panoramik bandar Jeddah dan Laut Merah. Ia akan dibina di tingkat 157 menara tersebut.
Menara itu juga akan dilengkapi sistem lif berteknologi tinggi, dengan 56 lif yang dijangka mampu bergerak pada kelajuan 10 meter sesaat. – AGENSI














