TANGKAK – Empat maut termasuk seorang gadis dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal dan sebuah kereta Perodua Myvi di Kilometer 32.5, Jalan Muar-Segamat di sini, malam semalam.
Dalam kejadian pada pukul 10.55 malam itu melibatkan tiga lelaki dan seorang remaja perempuan berusia antara 18 hingga 20 tahun.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, tiga mangsa iaitu penunggang motosikal Yamaha 135LC dan penunggang Yamaha Y15ZR serta pembonceng, remaja perempuan meninggal dunia di tempat kejadian.
Manakala, seorang lagi penunggang motosikal Yamaha 135LC meninggal dunia di Hospital Tangkak di sini, semasa mendapatkan rawatan.
“Pemandu kereta Perodua Myvi bersama penumpang tidak mengalami kecederaan.
“Polis sedang melakukan siasatan terperinci berhubung nahas membabitkan empat mangsa itu,”katanya.
Roslan berkata, kesemua mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Hospital Tangkak di sini untuk bedah siasat.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-KOSMO! ONLINE














