fbpx
SEJAK 30 tahun lalu, watak Raj dan Simran lakonan Shah Rukh dan Kajol dalam DDLJ antara filem yang membentuk budaya pop seluruh dunia.

30 tahun Dilwale, Donald Trump pun jatuh cinta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBUT Dilwale Dulhania Le Jayenge (DDLJ) pasti ramai yang terngiang-ngiang lagu-lagu yang melatari filem hebat lakonan Shah Rukh Khan dan Kajol itu. Selain karya yang menjadi siulan ramai, jalan cerita filem tersebut yang romantik dan menyentuh perasaan juga masih dingati sehingga hari ini.

Siapa yang boleh lupakan babak ikonik Simran lakonan Kajol yang berlari di stesen kereta api mengejar cinta hatinya, Raj lakonan Shah Rukh Khan di penghujung cerita.

Baru-baru ini, DDLJ menyambut ulang tahun ke-30 pada 20 Oktober sejak ditayangkan kepada penonton tahun 1995.
Menariknya, selepas 30 tahun, DDLJ masih lagi ditayangkan di pawagam di India menjadikan naskhah ikonik itu sebagai filem yang paling lama ditayangkan dalam sejarah Bollywood.

Antara pawagam yang masih lagi menayangkan filem ini adalah Maratha Mandir yang terletak di Mumbai. Heroin DDLJ, Kajol memuat naik ucapan dalam Instagram sempena meraikan ulang tahun ke-30 filem yang melonjakkan namanya dan Shah Rukh Khan sebagai ‘superstar’ di India.

FILEM DDLJ yang kekal basah dalam ingatan penonton sehingga hari ini.

“Filem ini telah merebak ke seluruh pelosok dunia, berbekas di hati dan minda penonton dengan jumlah (tontonan) tidak terkira. Terima kasih kerana mencintai filem ini dengan cara yang sangat fenomena,” tulisnya.

Sebelum DDLJ menjadi antara sejarah terhebat Bollywood pada hari ini, terdapat pelbagai fakta menarik yang berlaku. Antara yang paling menarik adalah hero asal yang terbayang di fikiran pengarah ketika mahu menulis filem ini ialah pelakon terkenal Hollywood, Tom Cruise.

Aditya mahu menulis tentang kisah cinta di antara pemuda yang berasal dari luar negara dan gadis India. Bagaimanapun, perkara itu tidak dipersetujui bapanya iaitu Yash Chopra yang merupakan penerbit filem ini. Kemudian dia menukar jalan cerita menjadi pemuda berbangsa India yang menetap di luar negara.

Selepas skrip filem tersebut siap, Aditya menawarkan watak Raj kepada Shah Rukh Khan, namun dia menolaknya kerana tidak mahu berlakon dalam filem romantik selepas mengukir kejayaan luar biasa menerusi watak antagonis dalam filem Baazigar dan Darr. Aditya kemudian menawarkan watak Raj Kepada Saif Ali Khan yang ditolak juga. Akhirnya selepas puas memujuk, Shah Rukh akur dan bersetuju untuk melakonkan watak Raj.

Biarpun filem ini tidak dibintangi Tom Cruise, tetapi DDLJ berjaya menakluki peminat di seluruh dunia termasuklah Presiden Amerika Syarikat iaitu Donald Trump yang pernah mengeluarkan kenyataan bahawa DDLJ adalah sebuah filem klasik kegemarannya.

Pelakon terkenal Hollywood, Chris Hemsworth merupakan antara peminat nombor satu DDLJ dan pernah mengungkapkan dialog filem itu yang berbunyi, ‘bade bade deshon mein aisi chhoti chhoti baatein hoti rehti hai’.

Bukan sahaja meninggalkan kesan terhadap dunia perfileman, DDLJ juga memberi pengaruh kuat terhadap dunia fesyen dunia.

Impak hebat

DDLJ bukan sahaja berjaya dari segi kutipan tiket serta menggondol hampir kesemua acara anugerah di India termasuklah bagi kategori filem terbaik, pengarah terbaik dan pelakon terbaik, malah turut memberikan impak terhadap industri pelancongan, budaya pop dan fesyen.

Salah satu lokasi filem ini iaitu Switzerland menjadi destinasi pelancongan popular selepas DDLJ menjadi fenomena di seluruh dunia.
Disebabkan lokasi-lokasi yang digunakan dalam filem ini begitu popular, pihak agensi pelancongan di sana turut menawarkan pakej ‘tour’ ke semua lokasi ikonik yang terdapat dalam filem DDLJ antaranya di Saanen, Gstaad, Interlaken, Zweisimmen dan Gunung Titlis.

Pada tahun 2010, Yash Raj Films menandatangani perjanjian bersama syarikat pelancongan India dan Switzerland untuk menyediakan pakej pelancong yang diberi nama YRF Enchanted Journey yang menawarkan perkhidmatan membawa pelancong ke lokasi-lokasi yang pernah digunakan dalam filem terbitan Yash Raj Films termasuklah DDLJ.

Fesyen-fesyen yang digayakan Shah Rukh dan Kajol dalam filem ini juga menjadi ikutan ramai. Jaket kulit yang sering dipakai Shah Rukh menjadi ikutan para jejaka di India.

Begitu juga lehenga berwarna hijau yang digayakan Kajol sewaktu menyanyikan lagu Mehndi Laga Ke Rakhna. Aditya berani melawan arus dengan memilih busana berwarna hijau pucuk pisang untuk babak di majlis berinai. DDLJ juga merupakan antara tiga filem India yang tersenarai dalam buku 1001 Movies You Must See Before You Die yang diterbitkan pada tahun 2003.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI