ALOR SETAR – Jumlah mangsa banjir di Kedah terus meningkat apabila seramai 1,858 mangsa ditempatkan di 14 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 8 pagi ini.
Kesemua mangsa daripada 587 keluarga itu adalah dari daerah Kulim, Baling, Pokok Sena dan Kuala Muda.
Baling dan Pokok Sena menjadi daerah terbaharu yang membuka PPS bermula pukul 6 petang semalam. Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah, seramai 251 mangsa banjir di Baling dipindahkan ke empat PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Siong, SK Seri Bayu, Dewan Tun Abdul Razak (lama) dan Kompleks Belia dan Sukan.
“Di Pokok Sena, sebuah PPS dibuka di Dewan Serbaguna tengah malam tadi yang kini menempatkan seramai 85 mangsa banjir,” katanya hari ini.
Sementara itu, katanya, jumlah mangsa di Kulim terus meningkat apabila tiga lagi PPS dibuka semalam, menjadikan seramai 1,470 mangsa kini berlindung di lapan PPS di daerah tersebut.
“Tiga PPS yang dibuka semalam ialah Dewan Orang Ramai Sungai Karangan, Surau Kampung Padang Meha dan SK Merbau Pulas.
“PPS lain yang diaktifkan sejak kelmarin pula ialah Surau Taman Sang Kancil, Dewan Kampung Paya Tok Betok, SMA Ihsaniah Jangkang, SK Pagar Museh dan SJKC Khai Min,” ujarnya.
Bagi Kuala Muda, seramai 52 penduduk yang terjejas akibat fenomena air pasang dan ombak besar di Kampung Huma, Tanjung Dawai pada Rabu lalu masih berlindung di PPS SJKC Choong Cheng. – KOSMO! ONLINE














