FRANKFURT – Pengendali Liverpool, Arne Slot resah selepas pemain termahal, Alexander Isak mengalami kecederaan ketika membantu pasukan menang 5-1 ke atas Eintracht Frankfurt dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi semalam.
Pada perlawanan di tempat lawan itu, The Reds kembali menemui prestasi terbaik selepas bangkit daripada ketinggalan 0-1 dengan meraih gol hasil penyudah Hugo Ekitike, Virgil van Dijk, Ibrahima Konate, Cody Gakpo dan Dominik Szoboszlai.
Keputusan tersebut meringankan tekanan yang dihadapi Slot selepas menyaksikan pasukan tewas empat kali berturut-turut sebelum ini.
Namun, Slot akui kemenangan itu terpaksa dibayar dengan harga mahal apabila Isak terpaksa dikeluarkan pada babak pertama.
“Saya berdoa agar kecederaan Isak tidak serius. Peminat mahu saya turunkan dia pada setiap perlawanan dan itu yang saya cuba lakukan, tetapi tuah tidak memihak kepadanya kali ini.
“Isak tiba pada saat yang kurang tepat kerana belum cergas sepenuhnya dan terbukti dia belum bersedia untuk beraksi dua atau tiga kali seminggu,” katanya.
Sementara itu, Slot memuji prestasi Ekitike yang memberi impak besar selain dilihat lebih mudah untuk menyesuaikan diri dengan pasukan berbanding Isak.
“Saya tidak mahu membuat perbandingan tetapi jelas Ekitike sentiasa menyumbangkan sesuatu buat pasukan setiap kali diturunkan dan saya gembira dengan prestasinya,” katanya. – AGENSI














