fbpx
Tony berkongsi gambar swafoto beliau di Facebook hari ini.

Tony Fernandes umum tutup akaun Facebook, Threads dan Instagram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes, mengumumkan akan menutup semua akaun media sosial peribadinya termasuk Facebook, Threads dan Instagram selepas enam tahun yang disifatkannya penuh cabaran serta perubahan besar dalam kehidupan dan kerjaya.

Dalam kenyataan di media sosialnya, tokoh korporat itu berkata, keputusan tersebut dibuat selepas menilai semula keutamaan hidupnya dan kekecewaan terhadap penyebaran berita palsu serta penipuan yang berleluasa di platform Meta.

“Saya sudah menutup Threads hari ini, Facebook akan ditutup esok, diikuti Instagram. Saya sangat menyukai media sosial dan ia telah memberi banyak pengalaman hebat kepada saya.

“Namun, saya amat kecewa dengan berita palsu dan penipuan yang banyak berlaku di platform Meta. Saya sendiri menjadi mangsa pelbagai scam yang sebenarnya boleh dicegah dengan teknologi yang mereka ada,” katanya.

Tony berkata, langkah meninggalkan media sosial itu juga menandakan penamat kepada enam tahun tempoh getir yang dilaluinya sejak pandemik Covid-19, kejatuhan AirAsia di bawah status PN17 dan usaha membina semula syarikat tersebut.

“Sepanjang tempoh itu, kami berjaya menubuhkan Capital A dan lima syarikat bernilai tinggi yang kini dianggarkan bernilai AS$3 bilion secara keseluruhan,” katanya.

Tambah beliau, keputusan itu bukan kerana terkesan dengan komen negatif, sebaliknya kerana mahu memberi tumpuan kepada perkara yang lebih penting dalam fasa akhir kehidupannya.

“Komen negatif juga memberi inspirasi kepada saya untuk menjadi lebih baik. Saya cuma berharap platform media sosial dapat digunakan untuk kebaikan,” katanya lagi.

Tony turut mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang menyokongnya selama ini, termasuk pengikut setia media sosialnya sejak awal.

“Terima kasih atas segala sokongan, baik positif mahupun negatif. Lots of love, Tony,” tulisnya ringkas menutup kenyataan itu.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI