PASIR MAS – Hajat sindiket untuk meraih keuntungan hasil mengedar sebanyak 7.05 kilogram (kg) bunga ganja bernilai RM254,000 tidak kesampaian selepas dadah tersebut ditinggalkan di depan sebuah rumah di Kampung Tok Pelanduk, di sini semalam.
Kesemua dadah yang diletakkan di dalam guni itu ditemukan tergantung pada dahan sebatang pohon rumbia kira-kira pukul 11.30 pagi.
Pemangku Komander Briged Tenggara, Pasukan Gerakan Am (PGA), Asisten Komisioner Ijid Landu Binju berkata, pihaknya menjalankan serbuan selepas menerima maklumat mengenai kegiatan pengedaran dadah di rumah tersebut. Menurutnya, pemeriksaan mendapati, rumah itu kosong dan tidak berpenghuni semasa serbuan dijalankan.
“Pemeriksaan di kawasan luar rumah berkenaan membawa kepada penemuan satu guni yang mengandungi 7.05 kg bunga ganja.
“Pihak polis menunggu di kawasan tersebut selama lima jam, namun tiada individu yang datang ke rumah tersebut,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Ijid Landu memberitahu, siasatan mendapati, kesemua dadah dianggarkan bernilai RM254,000 dan barangan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE














