KUALA LUMPUR – Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dikejutkan dengan kekalahan di pusingan suku akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Perancis.
Pada perlawanan yang berlangsung di Glaz Arena, Cesson-Sevigne sebentar tadi, juara dunia itu tewas dalam aksi straight set 9-21, 18-21 kepada Tang Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong.
Turun sebagai pilihan keempat kejohanan, Tang Jie-Ee Wei dijangka tidak berdepan masalah untuk mencatat kemenangan kerana memiliki rekod dua kemenangan ke atas pasangan itu.
Bagaimanapun, sebaliknya berlaku apabila mereka berdepan tentangan sengit daripada Chun Man-Ying Suet sebelum akur dengan kekalahan dalam tempoh 37 minit.
Kekalahan itu turut menyaksikan mereka terpaksa menunggu lebih lama untuk menamatkan kemarau gelaran dalam saingan Jelajah Dunia musim ini.
Sebelum ini, Tang Jie-Ee Wei berjaya melangkah ke separuh akhir empat kali berturut-turut pada kejohanan Terbuka Denmark, China Masters, Kejohanan Dunia dan Terbuka Macao.
Justeru, gandingan No.3 dunia itu memiliki masa beberapa hari untuk melakukan persiapan bagi menggalas cabaran seterusnya pada Terbuka Hylo di Jerman minggu depan. – KOSMO! ONLINE














