GEORGE TOWN – Video kejadian tanah runtuh yang menimbus seorang mangsa di Paya Terubong di sini disahkan tidak benar dan rekaan kecerdasan buatan (AI).
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari mengesahkan perkara tersebut menerusi akaun Facebooknya petang tadi.
“Berikut adalah video berita palsu (AI) yang sedang disebarkan melalui WhatsApp mengenai kejadian banjir dan tanah runtuh yang berlaku di Paya Terubong.
“Diharap pelaku lebih bertanggungjawab terutama waktu seperti ini. Jangan sebar berita palsu,” katanya.
Terdahulu, video berdurasi enam saat itu mengejutkan pengguna media sosial apabila memaparkan seorang mangsa tertimbus runtuhan ketika cuba menghampiri kenderaan yang diletakkan berhampiran lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE














