TAIPING – “Saya tak sempat fikir apa-apa, yang penting anak dan isteri saya selamat.”
Itu luahan Mohd. Azan Shah Mohd. Zabidi, 26, ketika berdepan detik cemas apabila rumahnya di Kampung Jelapang Jaya, Simpang di sini dinaiki air dalam kejadian banjir, semalam.
Menurut Mohd. Azan, air mula naik di bahagian belakang rumah sebelum melimpah masuk ke kawasan kediamannya dalam tempoh setengah jam. “Dalam pukul 7 malam masih tak ada apa lagi tetapi apabila masuk pukul 8 malam, air dah mula naik dari arah belakang rumah.
“Bulan lepas pun banjir tetapi tak seteruk kali ni. Kali ni air naik cepat,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Simpang di sini hari ini.
Menyedari keadaan semakin genting, katanya, dia segera bertindak menyelamatkan isteri dan dua anaknya iaitu seorang bayi berusia empat hari dan seorang lagi berusia 6 tahun sebelum air terus meningkat ke paras pinggang.
“Saya dukung isteri keluar dulu sebab dia baru bersalin. Lepas letak dalam kereta, saya masuk balik ambil anak. Kena ulang tiga kali sebab nak pastikan semua selamat,” katanya.
Sementara itu, isterinya, Nurul Najahhatul Farihah Zainal Abidin, 26, yang masih dalam tempoh berpantang mengakui panik ketika air mula memenuhi ruang rumah sambil mendukung bayinya yang baru lahir.
“Memang kalut sikit, risaukan dia (bayi), memang kelam-kabut masa tu. Fokus kemas barang dia dulu. Yang penting anak, kita fikir anak dulu,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














