fbpx
Antara kenderaan yang digunakan suspek dirampas oleh pihak polis. FOTO IHSAN POLIS

Sindiket curi kabel tumpas, 3 ditahan termasuk dua wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kegiatan licik mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) akhirnya terbongkar apabila polis menahan tiga individu termasuk dua wanita dalam serbuan di sebuah kondominium di Putrajaya awal pagi Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, serbuan yang dilakukan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya kira-kira pukul 4 pagi susulan laporan kes curi kabel yang diterima pada 17 Oktober lalu.

“Dalam serbuan itu, polis menahan seorang lelaki tempatan yang mempunyai 16 rekod lampau serta didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux menjumpai barang kes berkait laporan polis Kajang dibawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan terdapat barang kes yang dipercayai digunakan bagi kegiatan mencuri kabel,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Shamsudin, pemeriksaan lanjut di rumah suspek membawa kepada penahanan dua wanita yang dipercayai terbabit dalam kes pemerasan di Tapah mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Katanya, semasa serbuan dijalankan, beberapa lagi suspek sempat melarikan diri menaiki dua kenderaan iaitu Proton X50 dan Perodua Ativa.

“Bagaimanapun, polis berjaya menemui Proton X50 yang ditinggalkan di kawasan Rehat dan Rawat Temerloh bersama beberapa barangan kes dipercayai digunakan dalam kegiatan mencuri kabel.

“Kenderaan Perodua Ativa pula berjaya dikesan dan ditahan di kawasan Pusat Rekreasi Sungai Tekala, Semenyih. Pemeriksaan lanjut menemukan pelbagai peralatan yang turut disyaki digunakan untuk kegiatan curi kabel,” jelasnya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan kerana melakukan kerosakan atau gangguan terhadap kemudahan awam.

“Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan ini tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 atau balai polis berhampiran,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN