KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih meneruskan siasatan terhadap ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, pihaknya menegaskan bahawa kes berkenaan juga belum ditutup sehingga kini.
Katanya, pihaknya terus memantau perkembangan terkini berhubung kes berkenaan dan akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan keperluan siasatan. “Isu ini tidak perlu dibincangkan secara terbuka kerana tindakan masih lagi seperti mana yang dimaklumkan sebelum ini.
“Siasatan masih dijalankan,” katanya pada sidang akhbar Op Pedo di Bukit Aman, hari ini.
Pada September lalu, media melaporkan Malaysia terus menjalin kerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang antarabangsa dalam usaha mengesan dan membawa pulang dalang utama dikaitkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jho Low untuk menghadapi pertuduhan di negara ini.
Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman dilapor berkata, usaha itu dilaksanakan melalui Kementerian Dalam Negeri yang komited bekerjasama dengan pihak berkuasa antarabangsa. – KOSMO! ONLINE














