fbpx
Tertuduh (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah George Town, hari ini. Foto oleh SAFINA RAMLI/KOSMO!

Sami Siam dituduh cedera mangsa guna pisau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Seorang sami warga Thailand dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan mencederakan seorang lelaki di Kampung Kebun Sireh, Jalan Raja Gopal, di sini Selasa lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana tertuduh, Phra Phumin, 63, tidak memahami bahasa Melayu atau Inggeris dan memerlukan bantuan jurubahasa bahasa Thai untuk membacakan pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Ketika prosiding, Puteri Nor Nadia memohon agar tiada jaminan ditawarkan kepada warga emas itu dan tarikh sebutan semula kes dengan kehadiran jurubahasa Thai.

Phra Phumin didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata ke atas mangsa tempatan berusia 58 tahun pada pukul 5.30 petang, 21 Oktober lalu di Kampung Kebun Sireh, Jalan Raja Gopal di sini.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara 20 tahun dan denda atau sebatan. Hakim menetapkan 7 November ini untuk sebutan semula kes. Selain itu, tiada jaminan dibenarkan ke atas tertuduh.

Difahamkan, kejadian pada pukul 5.30 petang, 21 Oktober lalu itu berpunca apabila tertuduh tidak berpuas hati selepas dihalau mangsa dari sebuah tokong di kawasan tersebut.

Ketika mangsa bersama rakannya sedang berbual di tepi tokong, suspek secara tiba-tiba menyerang lelaki itu dengan pisau sehingga menyebabkan kecederaan pada perut, tangan dan pipi. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN