fbpx
Mohd. Khalid. Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR / KOSMO!

Remaja ‘tidur atas duit’ jual video lucah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun dikesan meraih keuntungan sebanyak RM76,000 dalam tempoh sembilan bulan hasil kegiatan menjual bahan lucah kanak-kanak di media sosial.

Ini menjadikannya antara tangkapan paling mengejutkan dalam Op Pedo Bersepadu Polis Diraja Malaysia (PDRM)-Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) 2.0 baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, siasatan mendapati suspek yang masih bersekolah itu berperanan sebagai penjual di media sosial dan menawarkan akses berbayar kepada video serta gambar eksploitasi seksual kanak-kanak (CSAM) menggunakan transaksi e-dompet dan kod QR perbankan.

“Suspek berusia 17 tahun ini mempunyai rekod transaksi kewangan aktif mencecah RM76,000 bagi tempoh Januari hingga September lalu.

“Ini menunjukkan peralihan tahap moral yang membimbangkan,” katanya pada sidang akhbar Op Pedo Bersepadu di Bukit Aman, hari ini.

Menurut Mohd. Khalid, operasi khas diketuai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bahagian D11 dilaksanakan antara 22 hingga 30 September dijalankan serentak di 37 lokasi seluruh negara dengan kerjasama MCMC, melibatkan 206 pegawai dan anggota.

“Hasilnya, 31 suspek berusia antara 12 hingga 71 tahun berjaya ditahan termasuk guru, jurutera, pereka grafik, pelajar institut pengajian tinggi dan penganggur.

“Daripada jumlah itu juga membabitkan enam suspek iaitu kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun,” ujarnya.

Beliau berkata siasatan mendapati kesemua suspek menggunakan pelbagai platform media sosial termasuk Telegram, WhatsApp, Facebook, Instagram, Tumblr, dark web dan cloud storage untuk mengakses dan mengedarkan bahan CSAM.

“Ada antara mereka bertindak sebagai pentadbir kumpulan Telegram dan menawarkan akses berbayar menggunakan e-wallet serta kod QR perbankan seperti AmBank dan Touch ’n Go,” jelasnya.

Beliau berkata, pihaknya merampas 82 peranti digital seperti komputer, telefon bimbit dan pemacu storan yang mengandungi lebih 880,000 fail lucah kanak-kanak, meningkat lebih 20 kali ganda berbanding operasi pertama Disember tahun lalu.

Daripada jumlah itu beliau berkata, 17 suspek telah dituduh di mahkamah, manakala 14 lagi dibebaskan dengan jamin.

Tambahnya, polis membuka 29 kertas siasatan di bawah pelbagai undang-undang termasuk Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Kanun Keseksaan.

Katanya, peningkatan drastik fail CSAM dari tahun ke tahun membimbangkan sekaligus memerlukan kapasiti penyiasatan, kepakaran forensik digital serta infrastruktur penyimpanan bukti bagi menampung pertumbuhan eksponen data jenayah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN