KUALA LUMPUR – Atlet taekwondo negara, Nur Humaira Abdul Karim sedia meneruskan legasi kakaknya, Nurul Hidayah Abdul Karim menjelang temasya Sukan SEA Thailand 2025 yang akan berlangsung Disember depan.
Dia yang akan bergandingan dengan Jason Loo dalam acara poomsae campuran melaungkan keazaman untuk mengekalkan dominasi Malaysia yang sering meraih kilauan pingat emas acara tersebut.
Hidayah berkata, dia mahu memastikan pasukan negara membawa pulang pingat emas poomsae campuran, sama seperti dilakukan Hidayah bersama Jason pada edisi Filipina 2019 dan Kemboja 2023.
“Sudah tentu sasaran saya untuk menang. Harapan saya sekarang mahu meneruskan legasi dan mempertahankan pingat emas, lebih-lebih lagi acara campuran sentiasa menyumbang emas untuk negara sejak 2019.
“Acara ini tidak dipertandingkan pada edisi Vietnam 2021 tetapi di Kemboja, Hidayah dan Jason berjaya memenangi emas. Kalau boleh, saya mahu meneruskan kejayaan Hidayah sebelum ini,” katanya.
Sebagai rekod, Hidayah dan Jason sentiasa menjadi sandaran negara dalam acara poomsae sebelum Hidayah mengumumkan persaraan pada penghujung 2023 selepas memenangi emas di Kemboja.
Sementara itu, gandingan Humaira dan Jason juga bukanlah calang-calang apabila sudah membuktikan kemampuan mereka dengan memenangi pingat gangsa pada Kejohanan Dunia di Hong Kong Disember tahun lalu.
“Setakat ini semuanya baik sahaja. Tahun lalu pun kami berjaya memenangi pingat gangsa di Kejohanan Dunia, jadi kami hanya perlu teruskan latihan, jadi tidak ada sebarang masalah,” ujar Humaira. – KOSMO! ONLINE














