PETALING JAYA – Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), syarikat usahama diantara Kumpulan MMC dan APM Terminals yang berpangkalan di Belanda membangunkan dermaga baharu yang diberi nama ‘Berth Zero’ sebagai sebahagian daripada rancangan pengembangannya.
Kontrak pembangunan telah dianugerahkan kepada syarikat usaha sama antara MMC Engineering Sdn. Bhd. dan Antara Koh (M) Sdn. Bhd. (MMCE-AKSB JV), melibatkan kawasan PTP yang belum dibangunkan.
Projek ini merangkumi kerja-kerja pengorekan, penambakan, dan pembinaan dermaga sepanjang 360 meter di sepanjang bahagian garisan lurus dermaga PTP, yang akan dilengkapi dengan empat kren dermaga manakala kawasan lapangan kontena dilengkapi sepenuhnya dengan kren gantry bertayar getah elektrik (e-RTG).
Pengerusi PTP, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, pelan pengembangan utama PTP tertumpu pada usaha mengoptimumkan jumlah kapasiti pengendalian terminal kepada kira-kira 16 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) dalam tempoh dua tahun setengah.
“Permintaan dalam industri maritim serta pelabuhan adalah kukuh dan akan terus berkembang. Pembinaan dermaga baharu ini mencerminkan kesinambungan pertumbuhan kapasiti kami.
“PTP akan sentiasa mencari ruang untuk meneruskan pertumbuhan bagi memenuhi falsafah kami yang berteraskan pelanggan, menyokong keperluan pertumbuhan operasi pelanggan yang semakin meningkat sama ada untuk mencapai matlamat kebolehpercayaan mereka atau untuk meningkatkan daya saing.
“Ini juga sebagai persediaan untuk merebut peluang daripada peningkatan perdagangan intra-ASEAN yang membentuk pasaran masa hadapan, dan seterusnya memperkukuh kedudukan Johor dan Malaysia dalam aliran perdagangan global,” katanya dalam kenyataan hari ini.














