KEMAMAN – Seorang lelaki maut setelah motosikal yang ditunggang merempuh sebuah kereta dipercayai mahu membuat pusingan U di Kilometer 5, Jalan Mak Chili-Ibok, di sini, hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 11.33 pagi, mangsa, Amirul Faizal Kamaruzzaman, 38, disahkan meninggal dunia akibat parah di bahagian kepala.
Ketika kejadian, Amirul Faizal dari Kampung Tempurong, di sini dikatakan dalam perjalanan ke Ibok. Setibanya di lokasi kejadian, motosikal Yamaha RXZ yang ditunggang mangsa gagal mengelak lalu merempuh kereta Proton Saga yang dikatakan memasuki laluan utama dari susur kiri untuk membuat pusingan U.
Rempuhan itu menyebabkan mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori tercampak ke atas jalan raya sebelum disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kemaman dan kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE














