fbpx
Datuk Seri Zambry Kadir (tujuh dari kanan) bergambar bersama kesemua penerima anugerah pada majlis Anugerah Akademik Negara ke-16 di Dorsett Grand Subang hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN/ KOSMO!

Penemuan Perak Man, alat Paleolitik, Siti Zurina diangkat Tokoh Akademik Negara 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Keazaman, ketekunan dan semangat juang yang tidak pernah luntur, sehingga sanggup menelusuri hutan tebal serta gua prasejarah, akhirnya membuahkan hasil apabila Prof. Emeritus Datin Dr. Siti Zuraina Abdul Majid dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Negara 2025 sempena Majlis Anugerah Akademik Negara ke-16 (AAN16) hari ini.

Digelar wanita besi arkeologi negara, Siti Zuraina merupakan tokoh ilmuwan ulung yang mengangkat arkeologi Malaysia ke persada dunia menerusi penemuan saintifik luar biasa sejak akhir 1970-an.

Ketika ramai wanita memilih keselesaan di makmal atau bilik kuliah, beliau sanggup meredah belantara, mendaki bukit batu dan tidur di dalam gua demi menyingkap rahsia tamadun manusia purba di Lembah Lenggong dan Gua Niah.

Antara kejayaannya yang bersejarah ialah penemuan teknologi alat batu Paleolitik tertua di Asia Tenggara serta bukti perluasan budaya gangsa dari Thailand ke Malaysia, penemuan yang mengubah landskap pemahaman sejarah rantau ini.

Lebih menakjubkan, beliau turut menemui rangka manusia tertua di Malaysia, Perak Man, berusia 10,000 tahun yang memiliki kecacatan genetik. Penemuan ini bukan sekadar penting dari segi arkeologi, malah memberi sumbangan besar kepada bidang sains perubatan dan genetik moden.

Dedikasi dan kegigihan beliau akhirnya membawa kepada pengiktirafan UNESCO pada 2012 apabila Lembah Lenggong diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia, menjadikan Malaysia antara negara yang memiliki warisan prasejarah diiktiraf dunia.

Atas sumbangan luar biasa itu, Siti Zuraina turut menerima pelbagai penghormatan antarabangsa termasuk Women at 50 Yale Award dan Anugerah Merdeka 2022, sebelum kini diangkat sebagai Tokoh Akademik Negara 2025.

Sebagai penerima anugerah tertinggi akademia negara itu, beliau menerima hadiah wang tunai RM200,000, trofi dan sijil penghargaan, disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.

Pengumuman rasmi dibuat oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Dr. Azlinda Azman, disaksikan Ketua Setiausaha Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Anesee Ibrahim.

Selain beliau, lapan lagi ahli akademik turut menerima anugerah AAN16 dalam pelbagai kategori termasuk penerbitan jurnal, buku, inovasi, seni dan pengajaran.

Majlis AAN yang mula diperkenalkan pada 2006 menjadi pentas tertinggi Kementerian Pendidikan Tinggi bagi mengiktiraf sumbangan tokoh akademik yang mengharumkan nama Malaysia di arena antarabangsa. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI