PETALING JAYA – Seorang pembantu setiausaha pejabat di Universiti Teknologi Malaysia mencetuskan kejutan dan inspirasi ramai berikutan memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD).
Ada yang menyifatkan wanita berkenaan, Dr. Norliyana Zakaria dengan cemerlang keluar dari zon selesa.
Menerusi perkongsian @Amirruddin Ahmad Tajuddin di media sosial, wanita itu telah membuktikan tiada apa yang mampu menghalang kemampuan diri. “Bayangkan, seorang pembantu setiausaha pejabat Gred N1 boleh melangkah sejauh itu menamatkan ijazah, ijazah sarjana dan PhD.
“Keluar dari zon selesa dan buktikan tiada siapa terikat dengan takdir asal. Rupa-rupanya, kisah ini memang betul-betul berlaku,” katanya.
Perkongsiannya itu meraih pelbagai respons positif orang ramai, namun ada juga yang mempertikaikan mengapa Norliyana masih menyandang jawatan berkenaan walaupun sudah bergelar Dr.
Bagaimanapun, ada individu yang tampil memberi penjelasan tentang keadaan tersebut.
@Nik_zulrynna menjelaskan, tiada lantikan secara terus dalam perkhidmatan awam jika kelulusan akademik berubah.
Jelasnya, pegawai terlibat perlu membuat permohonan baharu bagi jawatan yang lain.
“Kisah Dr. Norliyana sama mcm kisah saya. Saya sambung belajar ketika dalam perkhidmatan. Saya bekas pembantu tadbir (perkeranian/ operasi) gred N19 selama 16 tahun yang berkelulusan PHD.
“Alhamdullilah, sekarang dah lima tahun berkhidmat sebagai pensyarah di IPTA. Saya yakin, beliau akan mendapat jawatan yang setara dengan kelulusan akademik beliau.
“Dalam perkhidmatan awam, tiada lantikan terus jika kelulusan akademik berubah. Pegawai tersebut perlu memohon untuk jawatan lain sesuai dengan kelayakan akademik yang terkini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














