fbpx
Ada pelajar universiti membuat kerja sambilan untuk menampung kos pengajian dan sara hidup., Gambar Janaan AI

Pelajar U buat tiga kerja, catu nasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kenaikan kos sara hidup saban tahun memaksa sebahagian pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) terutama di Lembah Klang melakukan sehingga tiga kerja sambilan bagi menampung perbelanjaan ha­rian mereka.

Bagi golongan itu, bantuan kewangan seperti pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Bantuan Siswa Madani dan elaun masih belum mencukupi untuk menampung kos di kampus.

Pelajar Ijazah Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Ameer Taufek Mohd. Azmi, 23, berkata, pendapatan bapanya sebagai pengawal keselamatan tidak mencukupi untuk menampung kos pengajiannya, lebih-le­bih lagi ibunya suri rumah.

“Jadi untuk menampung belanja, saya bekerja sambilan sebagai penghantar makanan, pembuat minuman di set penggambaran dan penyunting video.

“Nak kata terpaksa bekerja memang ya, sebab ada komitmen. Duit pinjaman belajar semata-mata memang tidak cukup, saya bekerja bukan sebab hendak hidup mewah, tetapi untuk meneruskan hidup,” katanya kepada Kosmo!.

Ameer berkata, pendapatan kerja sambilan sebanyak RM1,500 hingga RM2,000 sebulan itu digunakan untuk keperluan harian, membayar yuran kolej dan dana kecemasan se­perti membaiki motosikal selain diberikan kepada ibu bapa di kampung.

Katanya, kos sara hidup di bandar besar tinggi termasuk harga makanan sehingga ada pelajar sanggup mengikat perut kerana mahu berjimat.

Bagi Raja Farah Nabilah Raja Ahmad Khiruddin, 23, pula, walaupun menerima duit poket RM400 sebulan daripada keluarga, dia tetap melakukan kerja sambilan dengan upah harian.

“Saya tidak mahu menyusahkan keluarga sebab mereka mempunyai tanggungan lain. Walaupun tinggal di kolej, kos makan dan keperluan akademik tetap tinggi.

“Perbelanjaan bulanan saya minimum RM500, kalau gaji lambat, saya akan makan sekali sehari untuk berjimat,” katanya yang bekerja enam hingga tujuh jam sehari bergantung kepada jadual kelas.

Pelajar Sarjana Muda Bahasa Inggeris Komunikasi Antara Budaya, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ainol Mardhiah Mohd. Jamani, 21, berkata, dia melakukan tujuh kerja sambilan sepanjang pengajian seperti jurujual, pembantu kedai dan butik, kru makanan dan minuman, runner dan ejen sewaan kereta.

“Saya menyewa di luar kampus jadi kosnya bertambah. Jadi untuk berjimat saya akan membeli nasi dan dibahagi supaya dapat makan dua kali,” katanya yang bergantung sepenuhnya kepada pinjaman Yayasan Kelantan dan upah kerja sambilan untuk menampung kehidupan di universiti.

Sementara itu, Eksekutif Ke­satuan Mahasiswa Universiti Malaya, Nur Akil Shamil Mohamed, 22, berkata, pihaknya menerima aduan daripada pelajar yang terpaksa bekerja lebih masa bagi menampung kos kehidupan.

“Ramai pelajar yang bekerja lebih 20 jam seminggu. Ia bantu mereka berdikari, tetapi apabila beban kerja terlalu berat, akademik dan kesihatan mental juga boleh terjejas.

“Ada seorang pelajar mengadu terpaksa bekerja pada waktu malam kerana ibu bapa sudah tiada,” katanya.

Beliau turut mencadangkan kerajaan supaya memperluas skim subsidi makanan dan menambah dana bantuan kewa­ngan seperti Penubuhan Dana Sokongan Pelajar agar lebih ramai pelajar dapat dibantu secara bersasar.

Setiausaha Korporat Majlis Perwakilan Pelajar UiTM, Nurul Hikmah Rumaini, 23, berkata, walaupun ramai pelajar sudah terbiasa dengan tekanan ekonomi, keadaan tersebut tidak sepatutnya dianggap normal.

Yang Diperta MPP UiTM, Muhammad Haziq Sabri berpandangan kerajaan perlu menumpukan pendekatan lebih menyeluruh termasuk menambah bantuan kewangan dan makanan untuk pelajar universiti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN