KUALA LUMPUR – Penyanyi Nubhan, Usop Wilcha dan Mark Adam antara peserta program nyanyian Gegar Vaganza ke-12 yang diumumkan hari ini.
Selain mereka bertiga, antara peserta lain yang terpilih ialah Rahmat Ekamatra, Korie, Krisya, Mell Sakura, Datuk Elaine Kang dan Kumpulan Freshies.
Peserta dari Indonesia pula diwakili oleh Shae, Ruri Repvblik dan Kumpulan Mendua. Manakala wakil dari Singapura pula ialah Iskandar Ismail.
Kerusi juri pada tahun ini masih kekal menjadi milik Datuk Ramli MS selalu ketua juri, Datuk Syafinaz Selamat dan Hetty Koes Endang.
Nabil Ahmad kembali sebagai hos untuk tahun ke-12 berturut-turut dan dia bakal ditemani oleh Sherry Al-Hadad.
Nubhan ketika ditemui berkata, dia menerima tawaran untuk menyertai GV12 kerana tidak mahu melepaskan peluang keemasan beraksi di pentas besar.
“GV merupakan sebuah pentas yang besar. Jadi bila ditawarkan oleh pihak Astro, saya rasa macam tak sesuai pula untuk saya menolak,” katanya.
Sementara itu Usop Wilcha stay Shy8 pula berkata dia terkejut mendapat panggilan daripada pihak Astro.
“Saya tanya adakah mereka gila? Saya sudah lama tidak menyanyi. Tetapi saya ambil peluang ini untuk kembali sebagai penyanyi,” jelasnya.
Mark Adam pula berkata antara salah satu sebab dia menyertai GV12 adalah sebagai hadiah buat isterinya.
“Beras di rumah saya pun dah habis. GV merupakan pentas yang besar. Isteri saya suka bila saya menyanyi. Jadi saya buat ini untuk dia,” kongsinya.
Edisi ke-12 bakal bersiaran secara langsung di MBSA Shah Alam mulai 2 November 2025, setiap Ahad, jam 9 malam, dan dipancarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (saluran 104). – KOSMO! ONLINE














