SHAH ALAM – Kerajaan negeri memberi tumpuan kepada kerja-kerja mitigasi banjir di anak sungai serta sistem longkang dan peparitan di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai persiapan menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL).
Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah itu seiring dengan mitigasi melibatkan projek tebatan banjir seperti Tebatan Sungai Langat di bawah kerajaan Persekutuan yang memasuki fasa kedua dan ketiga.
Katanya, peralihan monsun berterusan sehingga Januari atau Februari 2026 itu memerlukan tahap kesiapsiagaan yang tinggi. “Hari ini direkodkan di Taiping, kejadian banjir agak tinggi dan itu mengingatkan kita untuk lebih berhati-hati dan bersedia.
“Mitigasi banjir sedang berjalan dan ada yang disambung, baharu dan sebagainya termasuk Tebatan Banjir Sungai Langat di bawah kerajaan Persekutuan.
“Apa yang patut dilakukan kerajaan negeri adalah (mitigasi) di anak sungai sistem longkang dan peparitan di PBT,” katanya selepas merasmikan pelepasan Skuad Pengurusan Bencana Negeri Selangor di sini hari ini.
Persediaan awal turut dilakukan dari segi pengukuhan ban memandangkan Selangor turut berdepan fenomena air pasang besar pada Disember ini.
Katanya, kedinamikan kesan cuaca menyebabkan peta risiko banjir sering berubah dan penilaian semula dilakukan secara berkala agar tindakan lebih tepat dilaksanakan.
“Ada kawasan yang dahulunya tinggi kini berkurang kerana usaha mitigasi, tetapi ada kesannya (banjir) di tempat lain. Itu semua kita akan kemukakan (hot spot banjir),” ujarnya.
Amirudin berkata, lebih 5,000 anggota dan pegawai pelbagai agensi digerakkan dalam menghadapi sebarang kemungkinan.
“Kesediaan rakyat juga perlu dipertingkatkan dengan menyedari aspek perubahan iklim yang boleh mencipta suasana tidak jangka seperti kejadian ribut yang jarang-jarang berlaku,” katanya. – KOSMO! ONLINE














