PUTRAJAYA – Menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan diminta untuk pulang ke Malaysia dan membersihkan namanya.
Bagaimanapun menurut jurucakap kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, perkara tersebut tidak dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
“Untuk isu menantu Ahli Parlimen Pagoh, itu tak perlu bincang, balik sahaja lah. Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) telah menyatakan bahawa beberapa agensi telah membuat permohonan supaya pasport beliau dibatalkan, jadi sebelum ia dibatalkan, ‘come back and clear your name’. Kenapa lari, kecuali takut, jadi balik dan berdepan dengan mahkamah.
“Berdasarkan laporan sebuah akhbar, ada dimaklumkan bahawa individu tersebut sekarang sedang berada di sebuah negara yang tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Malaysia,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan Jabatan Imigresen telah membatalkan pasport antarabangsa milik Muhammad Adlan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan, pembatalan itu dibuat selepas menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan telah dilaksanakan mengikut prosedur undang-undang sedia ada. – KOSMO! ONLINE














