fbpx
FAIZAL (tengah) sentiasa dianggap penggempur negara yang sudah setanding dengan penyerang-penyerang handalan dunia.

Malaysia belum temui pengganti Faizal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETUA jurulatih skuad hoki remaja negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin mengakui barisan pemain muda hari ini masih belum memiliki pengganti yang mampu menyamai kemampuan bekas penyerang negara, Faizal Saari dari segi naluri pemusnah di depan gawang.

Menurutnya, majoriti pemain dalam skuad bawah 21 tahun (B-21) lebih menonjol secara berpasukan, namun tiada yang benar-benar mempunyai keistimewaan individu seperti dimiliki Faizal ketika berada di puncak kariernya.

“Kalau tengok dalam pasukan remaja sekarang, mereka kuat sebagai satu unit tetapi dari segi individu saya belum nampak siapa yang betul-betul menyerlah. Tiada yang memiliki kepakaran seperti Faizal,” katanya.

Saiful berkata, selepas berakhirnya Piala Dunia Remaja nanti, beberapa pemain akan diserap ke skuad senior, namun masih belum ada yang mampu mengisi kekosongan ditinggalkan Faizal sebagai ‘mesin gol’ negara.

“Lima pemain akan melepasi had umur selepas kejohanan ini dan mungkin akan sertai pasukan senior, tapi untuk cakap mereka setaraf dengan Faizal itu masih jauh. Belum ada lagi pemain yang sampai ke tahap dia,” ujar Saiful.

Tambah Saiful, keistimewaan Faizal hadir secara semula jadi hasil gabungan kelajuan, kekuatan dan kemahiran tinggi yang sukar dibentuk melalui latihan, menjadikannya antara pemain paling luar biasa dalam generasinya.

“Faizal jenis pemain gifted (berbakat). Dia memang ada kelebihan dari lahir, pantas, kuat dan mahir. Bakat macam itu datang secara semula jadi, bukan mudah untuk dibentuk walaupun dengan latihan,” katanya.

Bagaimanapun, Saiful tetap melihat potensi besar dalam generasi muda yang lebih disiplin dan berpadu sebagai satu pasukan berbanding era terdahulu, dengan kekuatan kolektif itu diyakini mampu menjadi asas kebangkitan semula hoki Malaysia.

“Meskipun tiada bintang individu setaraf Faizal, mereka sangat solid bila bermain bersama. Itu kekuatan utama mereka dengan kerja sepasukan yang mantap serta komitmen tinggi di atas padang,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI